Saturday 9 June 2012

Samperit Oh Samperit


Biskut Samperit samaada Samperit Dahlia atau Samperit Panjang adalah ‘wajib ada’ apabila menjelang tibanya Hari Raya Puasa atau Hari Raya Haji bagi keluarga saya. Walau sebanyak mana sekalipun jenis-jenis biskut yang dibuat oleh arwah emak pada hari tersebut tetapi biskut Samperit tidak pernah tinggal.
Pada asasnya kedua-dua biskut Samperit Dahlia atau Samperit Panjang ini, adalah menggunakan bahan-bahan yang agak sama kecuali yang membezakannya ialah Samperit Dahlia menggunakan tepung jagung manakala Samperit Panjang menggunakan tepung ubi. Dari segi struktur,Samperit  Dahlia diterap berbentuk bunga dan dihias buah ceri ditengahnya, manakala Samperit Panjang pula ditekan bergerigi bentuknya dan ditabur gula berwarna di atasnya.
Dari segi rasa , Samperit Dahlia mahupun Samperit Panjang yang baik dan sempurna buatannya ialah ia relai apabila dikunyah, terasa lemak-lemak masin dan sederhana manisnya serta cair dimulut (melt in the mouth).
Walaupun biskut Samperit ini hanya menggunakan bahan-bahan asas biasa seperti mentega, gula, telur, vanilla dan tepung, tetapi ia tidaklah semudah yang disangka apabila membuatnya, tersilap teknik biskut akan menjadi keras dan kering apabila dikunyah.
Dengan kemasukan kuih-kuih moden seperti London Almond, Chocolate Chip, Biskut Afghan dan lain-lain lagi, biskut Samperit sudah mula dilupakan orang. Walaupun Samperit boleh didapati sekarang dipasar pasaraya atau digerai-gerai kuih Raya tetapi rasanya tidak lagi seenak yang dibuat di rumah. Kebanyakannya rasanya agak hambar, tidak lemak dan kurang gula serta lebih tepung.

Walaupun emak telah lama meninggal dunia tetapi saya masih terus menyambung tradisi membuat Biskut Samperit Dahlia & Samperit Panjang hingga kedua-dua biskut Samperit ini menjadi ‘House Specialities Biscuit’ di dalam perniagaan biskut raya saya. 

Saturday 19 May 2012

Jom kita intai-intai kek tunang dan kahwin


Perbualan di antara dua orang surirumah tentang tajuk di atas.

Tijah : “ Ram, kau tau tak kat mana aku nak cari kek tunang dan kek kahwin?”
Ramlah : “ Nak buat ape?”
Tijah : “ Kan dua anak pompuan aku tu sorang nak bertunang dan sorang lagi nak kawin.”
Ramlah : “ Oh, ye ke , bila?”
Tijah : “ Ogos cuti sekolah tahun ni ”
Ramlah : “ ape susah beli je lah kat kedai kek”
Tijah : “ aku tau lah, tapi aku tak nak “
Ramlah : “ abis kau nak yang macam mane pulak? “
Tijah : “ yang ‘homemade’ tulah “
Ramlah : “ ade beza ke buatan umah dengan buatan kedai ? “
Tijah : “ tentulah berbeza “
Ramlah : “ alah benda tu kan sama aje”
Tijah : “ tak lah..buatan umah ni memang dibuat khas untuk tempahan kita sahaja “
Ramlah : “ mana kau tau ? kau penah tempah ke?“
Tijah : “ dulu aku penah makan kek kawin anak datin Kalsom, dah la kek tu cantik, rasanye pun sedap. ....dia kata dia tempah kat umah orang yang buat kek kawin dan tunang kecil-kecilan “
Ramlah : “ tempah kat umah tak branded lah “
Tijah : “ ah aku peduli ape, belum cuba belum tau “
Ramlah : “ kan awal lagi ni baru bulan lima dan anak kau pula kawin bulan lapan “
Tijah : “ tapi Ram kata orang buat kek tunang ataupun kawin ini tak macam buat kek biasa..ia memerlukan masa yang panjang kerana kerjanya rumit “
Ramlah : “ kalau gitu tentulah harganye mahal “
Tijah : “ tengoklah pulak ape yang kita pilih, ikut kemampuan kita, yang penting kita puas hati “
Ramlah : “ abis kau dah tau ke kat mane kau nak tempah ? “
Tijah : “ aku dah lagau dalam internet, dan aku dah jumpa bermacam-macam tempat seperti kat Keramat, Kg Baru, PJ, Puchong ....ntah macam-macam lagi..”
Ramlah : “ abis kat mane satu kau nak pegi? “
Tijah : “ kita pegi jela kat tempat yang dekat dengan kawasan kita dulu”
Ramlah : “ kat mane? “
Tijah : “ Kg Pandan Dalam “
Ramlah : “ kau dah ada ke alamatnya? “
Tijah : “ ade...
no.23, Lorong L3 (bahagia 3), Kg Pandan Dalam... tel : 017 – 271 8148   
Ramlah : “ jom “




Saturday 12 May 2012

Serba ringkas Pertunangan & Hantaran


Di musim cuti sekolah yang bakal menjelang tiba ini, sudah pasti ramai pasangan yang akan melangsungkan perkahwinan malahan tidak kurang pula pasangan yang akan menjalin tali pertunangan.
Bagi pasangan yang ingin mengikat tali pertunangan pula, tentulah kedua-dua belah pihak sibuk memikirkan apakah barang-barang yang patut diberi untuk dibuat sebagai barang hantaran.

Lazimnya barang-barang yang kerap menjadi pilihan hantaran samada di pihak lelaki mahupun perempuan ialah wang hantaran itu sendiri, sepasang kain sepersalinan, tuala mandi, kasut, songkok, senaskah al-quran, minyak wangi, buah-buahan dan kuih-muih tradisional seperti kuih kacau labu atau kuih kacau keledek, halwa kundur atau betik dan tidak lupa pula sebagai satu kuih moden wajib iaitu kek seperti kek mentega, kek coklat dan lain-lain lagi tetapi yang pastinya kek yang telah disalut fondant atau coklat yang telah dihias begitu menarik sekali.
Sudah menjadi adat orang-orang Melayu selalunya pihak perempuan akan menghantar barang-barang hantaran melebihi dari pihak lelaki dengan bilangan angka ganjil. Contohnya, pihak perempuan akan menghantar sembilan dulang hantaran manakala lelaki pula akan membalas tujuh dulang hantaran.Satu rombongan dari pihak lelaki beserta dengan satu ketua dilantik sebagai wakil untuk pergi meminang manakala satu ketua pula dilantik sebagai wakil bagi pihak perempuan bagi menerima pinangan. Janji kedua-dua belah pihak akan dimenterikan dengan lontaran kata-kata yang indah tersusun rapi serta beradat sopan disaksikan oleh kedua-dua belah pihak.
Kalau mahu dicoret secara terperinci masih banyak lagi bahan-bahan menarik yang tercicir dan tertinggal yang belum diceritakan lagi tetapi tidak mengapalah kita anggap sahaja sebagai ‘sambil menyelam minum air’iaitu sambil bercerita tentang kek dan kuih-muih kita sentuh serba sedikit tentang adat pertunangan orang-orang Melayu secara ringkas. 


Disertakan gambar Kek Pound Marble, Kek Pound Marble setelah dihias dengan fondant dan kuih Kacau Labu.


Friday 20 April 2012

Resipi Kek buah-buahan


Resepi kek buah-buahan
Oven 150 C
Masa membakar 1 ½ jam – 2 jam
Loyang kek 8” X 3” bulat atau 7” X 7” X 3” empat segi
Lenser mentega/marjerin keseluruhan dalaman loyang. Alas di sekeliling loyang kek dengan kertas minyak melebihi satu inci dari ukuran tinggi loyang (kalau tinggi loyang 3 inci, kertas mestilah dibuat 4 inci tinggi). Alas lagi 2 keping kertas minyak di dasar loyang.
Bahan-bahan kek
950 gram buah-buahan kering
½ cawan jus oren atau anggur
50 gram badam potong dipanggang
250 gram mentega atau marjerin
250 gram gula perang
5 biji telur ayam saiz kecil
250 gram tepung gandum diayak
1 sudu teh serbuk rempah kek (mixed spice)
½ sudu teh serbuk buah pala
1 sudu besar glycerine
1 sudu teh essen vanilla
Peringatan
1 hingga 2 hari sebelum membuat kek pastikan buah-buahan kering hendaklah direndam dengan jus oren atau anggur sekurang-kurangnya 4 jam atau sehingga 2 malam lagi bagus.
Cara membuat
1.       Campurkan buah-buahan yang telah direndam dengan badam panggang dan gaul rata, ketepikan.
2.       Ayak tepung gandum dan campurkan pula dengan rempah kuih dan serbuk buah pala dan kacau rata, ketepikan.
3.       Pukul mentega/marjerin dengan gula hingga separuh kembang.Masukkan telur satu persatu dan pukul hingga betul-betul bercampur rata. Buatlah begini hingga habis dan lepas ini barulah dimasukkan pula essen vanilla dan glycerine dan kacau rata.
4.        Dengan menggunakan tangan masukkan sesenduk kecil tepung dan sesenduk kecil buah-buahan dan gaul hingga rata. Ulangi proses menggaul tepung dan buah-buahan sehingga habis.
5.       Masukkan adunan ke dalam loyang kek dan ratakan dengan tangan. Ambil sudu ayan, celupkan ke dalam air dan renjiskan air lalu sapukan ke atas kek sehingga permukaan kek  betul-betul rata.
6.       Sebelum loyang kek yang berisi adunan kek ini dimasukkan ke dalam oven, ia hendaklah dihentakkan dahulu ke atas meja atau lantai dari jarak 12 inci dari atas. Dengan cara ini ‘batter’ akan memenuhi ruang-ruang kosong dalam loyang dan apabila dibakar kelak bentuk kek akan menjadi sempurna dan padat.
7.       Bakar mengikut suhu dan waktu seperti yang tertera di atas hingga kek masak atau lidi pencucuk tidak melekat lagi apibal dicucuk di tengah kek.

Teknik dan petua membuat kek buah
1.       Tujuan buah-buahan kering ini direndam dengan jus ialah untuk mendapatkan kek yang basah (moist) apabila dibakar nanti dan rasanya akan bertambah enak.
2.       Glycerine adalah sejenis cecair yang likat, manis dan jernih rupanya. Tujuannya ialah untuk melembutkan tekstur kek.
3.       Teknik menggaul tepung dan buah-buahan sesenduk demi sesenduk hingga habis adalah salah satu cara atau petua untuk menghalang buah-buahan dari mendap ke bawah apabila kek dibakar nanti.
4.       Mengapa kek dibakar dengan suhu rendah 150 C? Membakar kek buah-buahan memerlukan masa yang panjang jadi suhu oven mestilah rendah untuk memastikan bahawa kek akan betul-betul masak dan mempunyai warna yang gelap tetapi tidak pahit dan hangit.
5.       Setelah sejuk, kek buah-buahan perlu dikeluarkan dari loyang dan dibalut dengan 2 jenis balutan. Pertama dibalut dengan kertas minyak dan kedua dibalut dengan kertas timah (aluminium foil). Simpan kek sekurang-kurangnya 1 minggu atau lebih di tempat yang sejuk atau di dalam peti ais lebih bagus sehingga sampai tempoh matang (mature)nya.
6.       Sekiranya anda menyimpan kek di dalam peti sejuk, pastikan kek hendaklah dikeluarkan terlebih dahulu dan dibiarkan pada suhu bilik sekurang-kurangnya 6 hingga 8 jam sebelum dipotong. Disertakan gambar kek buah- buahan hantaran yang telah disalut dengan fondant.

Sunday 25 March 2012

Kek Hantaran & Perkahwinan

Seni membuat kek pertunangan ataupun perkahwinan bagi saya walaupun ia suatu pekerjaan yang memenatkan, meletihkan dan remeh-temeh tetapi ia amat menarik. Pekerjaan dan masa yang diperlukan untuk membuat kek ini agak panjang kalau dibandingkan dengan membuat kek-kek biasa. Selain dari membancuh dan membakar kek hingga masak, segala kerja-kerja yang lain seperti menyalut kek dengan gula fondant, menghias tepi-tepi dan 'badan'kek juga menyusun bunga-bunga gula yang telah digubah tidak menggunakan mesin tetapi dengan tangan (handmade)satu persatu dari A hingga Z.
Bunga-bunga gula (gum paste) atau bentuk-bentuk animasi dibuat terlebih dahulu seminggu atau lebih bergantung pada saiz kek.Jika ukuran kek kecil, maka sikit la hiasannya dan jika saiznya besar maka banyak la hiasannya, tetapi ada masanya kadang kala cara ini tidak boleh digunapakai kerana ada pelanggan menempah kek yang bersaiz kecil tetapi meminta hiasan yang banyak.
Masa membuat bunga-bunga gula ini, memakan masa yang panjang jadi ia memerlukan kesabaran, ketelitian dan kepekaan. Orang-orang yang betul-betul berminat sahaja (passion) yang akan dapat menghasilkan kerja-kerja tangan yang cantik, menarik dan memuaskan. Jadi tidak hairanlah, jikalau harga kek fondant ini agak tinggi dan berbeza harganya dari kek-kek jenis-jenis butter cream atau salutan coklat.
Cantik dan sedap mata memandang sahaja tidak memadai jikalau rasanya tidak seiring dengan rupanya. Jadi kami juga membuat kek-kek yang sesuai untuk tujuan ini seperti kek pound buah-buahan berat (heavy fruit cake) mahupun ringan (light fruit cake) kek coklat, mocha dan oren. Anda hanya memilih ape yang sesuai untuk anda dan kami juga tidak lupa membantu dan menasihati anda untuk memilih apa-apa jenis kek yang sesuai mengikut kesesuaian waktu dan masa.

Saturday 24 March 2012

Pound Cake

Ada empat jenis kek yang selalu dan biasa kita dengar, lihat dan makan ialah kek-kek seperti berikut: -
1. Kek Pound/butter cake yang berasaskan mentega.
2. Kek Span (sponge) berasaskan telur tanpa mentega yang biasa juga dibuat kuih bahulu bagi orang-orang Melayu.
3. Kek Chiffon yang banyak menggunakan putih telur dari merah untuk melembut dan menggebukan kek.
4. Kek Keju yang berasaskan keju krim.


Di antara empat jenis kek ini kek Pound yang paling sesuai dibuat kek Fondant untuk pertunangan atau perkahwinan kerana struktur dan teksturnya yang 'kuat' dan padat untuk menanggung segala beban berat salutan gula fondant dan hiasan yang di atasnya.
Kek Pound ini adalah induk ataupun ibu daripada kek-kek mentega yang lain. Pound kek juga dikenali di Perancis sebagai Quatres-Quarts dipercayai berasal dari England berabad-abad lama yang lalu. Dari situ ia berkembang ke negara-negara Eropah yang lain.Tidak hairanlah kek pound ini mudah didapati di kebanyakan kafeteria-kafeteria di Eropah dengan versi-versi tersendiri. Antara versi-versi tersebut adalah Kek Pound Buah-buahan, Kek Pound Victoria Sandwich, Kek Pound Marble, Kek Genoese, Kek Madeira, Kek Walnut dan lain-lain lagi.


Secara tradisi nisbah timbangan berat bahan-bahan membuat kek ini di antara satu sama lain adalah sama. Contohnya :- 250 gm mentega, 250gm gula kastor, 250gm telur tanpa kulit, 250gm tepung gandum ditambah dengan sedikit baking powder dan perisa-perisa yang dipilih.
Jika dibandingkan kek Pound dahulu dan sekarang terdapat banyak perbezaan dari segi rasanya kerana bahan-bahan yang bermutu tinggi seperti tepung yang telah diproses dan ditambah dengan zat-zat vitamin dan galian serta penggunaan mesin pembancuh/'mixer' berteknologi tinggi yang membolehkan pembuatan menjadi lebih cepat dan canggih.
Disertakan gambar kek Pound buah-buahan (light fruit cake) untuk tatapan anda.