Saturday 16 March 2013

Seri Muka


 

Seri Muka

Berbagai-bagai nama diberikan kepada kuih ini. 
Seri Muka adalah nama yang paling dikenali selain dari Pulut  Seri Kaya, Pulut Sarlat atau Puteri Sarlat.
Seri Kaya amat popular di kalangan orang-orang Melayu dan juga dari kalangan Baba & Nyonya. 
Kuih ini boleh didapati dan dinikmati di gerai-gerai, pasar malam dan di sesetengah restoran, tetapi agak sukar untuk mendapati kualiti dan rasanya yang elok seperti di buat di rumah. Hidangan ini selalunya adalah hidangan pagi ataupun petang.
Seri Muka adalah kuih kukus yang dibuat daripada beras pulut, santan, telur, gula dan air daun pandan serta daun suji.(Warna hijau daun suji adalah lebih menarik dari pewarna tiruan).
Kuih ini jika dibuat dengan teknik yang betul, rasanya amatlah lazat. Pulutnya padat tetapi tidak hancur, rasanya lemak masin dan tidak terlalu masin. Manakala lapis kaya diatasnya, tidak terlalu manis, berbau harum daun pandan dan suji serta amat menyelerakan.
Sayang sekali sekarang ini jarang yang kita dapati Seri Muka yang begitu sempurna rasanya, atas alasan menjimatkan kos bahan-bahan dan teknik yang salah. Pulutnya keras, kurang lemak dan kayanya pula keras kerana ditambah tepung terlalu banyak dan manakala gula, telur dan santannya dikurangkan. 

Resipi:-

Bahan-bahan lapisan bawah:-
300gm beras pulut
1/2 camca teh garam halus
500ml santan pekat

Bahan-bahan lapisan atas:-
3 biji telur ayam saiz besar
250gm gula pasir
3/4 cawan tepung gandum
200ml santan pekat
50ml air daun pandan dan daun suji

Campurkan kesemua bahan lapisan atas, kacau sehingga rata dan gula larut, Tapis dan ketepikan.

Cara membuat air daun pandan dan daun suji:-
Kisar 3 helai daun pandan dan 2 helai daun suji dengan 1 1/4 cawan air hingga hancur, tuangkan ke dalam penapis dan tapis airnya hingga kering. Ketepikan.

Cara membuat kuih Seri Muka:-

1. Bersihkan beras pulut dan rendam sekurang-kurangnya selama 4 jam atau semalaman lagi baik.(Ini adalah caranya untuk mendapatkan pulut yang lembut tetapi tidak berderai). Bilas dan toskan airnya.
2. Gaul beras pulut bersama santan dan garam di dalam loyang. Santan yang digunakan betul-betul separas pulut sahaja. Simpan baki santan untuk digunakan kemudian.
3. Kukus di dalam pengukus selama 20 minit atau hingga pulut masak.
4. Angkat, gaul rata dan masukkan pati santan sebanyak 4-5 sudu besar dan digaul lagi hingga sebati. Dengan menggunakan belakang sudu atau sudip, tekan-tekan hingga pulut mampat. Kukus lagi selama 7-8 minit. 
5. Buka tudung pengukus dan curahkan adunan lapisan atas. Pastikan adunan tidak dimasuki wap (kaya akan menjadi berbelak-belak atau kembang jikalau wap jatuh ke permukaan kuih). Kukus lagi 35-40 minit atau hingga lapisan atas betul-betul masak.
6. Padamkan api, angkat loyang dan letakkan ke dalam dulang dan biarkan ia betul-betul sejuk selama 4-5 jam atau jikalau mahu minum petang, lebih baik dikukus di waktu pagi (perkara ini penting untuk mendapatkan kuih yang betul-betul sejat dan cantik apabila dipotong).

Untuk mendapatkan potongan yang cantik, gunakan pisau plastik.