Friday 20 April 2012

Resipi Kek buah-buahan


Resepi kek buah-buahan
Oven 150 C
Masa membakar 1 ½ jam – 2 jam
Loyang kek 8” X 3” bulat atau 7” X 7” X 3” empat segi
Lenser mentega/marjerin keseluruhan dalaman loyang. Alas di sekeliling loyang kek dengan kertas minyak melebihi satu inci dari ukuran tinggi loyang (kalau tinggi loyang 3 inci, kertas mestilah dibuat 4 inci tinggi). Alas lagi 2 keping kertas minyak di dasar loyang.
Bahan-bahan kek
950 gram buah-buahan kering
½ cawan jus oren atau anggur
50 gram badam potong dipanggang
250 gram mentega atau marjerin
250 gram gula perang
5 biji telur ayam saiz kecil
250 gram tepung gandum diayak
1 sudu teh serbuk rempah kek (mixed spice)
½ sudu teh serbuk buah pala
1 sudu besar glycerine
1 sudu teh essen vanilla
Peringatan
1 hingga 2 hari sebelum membuat kek pastikan buah-buahan kering hendaklah direndam dengan jus oren atau anggur sekurang-kurangnya 4 jam atau sehingga 2 malam lagi bagus.
Cara membuat
1.       Campurkan buah-buahan yang telah direndam dengan badam panggang dan gaul rata, ketepikan.
2.       Ayak tepung gandum dan campurkan pula dengan rempah kuih dan serbuk buah pala dan kacau rata, ketepikan.
3.       Pukul mentega/marjerin dengan gula hingga separuh kembang.Masukkan telur satu persatu dan pukul hingga betul-betul bercampur rata. Buatlah begini hingga habis dan lepas ini barulah dimasukkan pula essen vanilla dan glycerine dan kacau rata.
4.        Dengan menggunakan tangan masukkan sesenduk kecil tepung dan sesenduk kecil buah-buahan dan gaul hingga rata. Ulangi proses menggaul tepung dan buah-buahan sehingga habis.
5.       Masukkan adunan ke dalam loyang kek dan ratakan dengan tangan. Ambil sudu ayan, celupkan ke dalam air dan renjiskan air lalu sapukan ke atas kek sehingga permukaan kek  betul-betul rata.
6.       Sebelum loyang kek yang berisi adunan kek ini dimasukkan ke dalam oven, ia hendaklah dihentakkan dahulu ke atas meja atau lantai dari jarak 12 inci dari atas. Dengan cara ini ‘batter’ akan memenuhi ruang-ruang kosong dalam loyang dan apabila dibakar kelak bentuk kek akan menjadi sempurna dan padat.
7.       Bakar mengikut suhu dan waktu seperti yang tertera di atas hingga kek masak atau lidi pencucuk tidak melekat lagi apibal dicucuk di tengah kek.

Teknik dan petua membuat kek buah
1.       Tujuan buah-buahan kering ini direndam dengan jus ialah untuk mendapatkan kek yang basah (moist) apabila dibakar nanti dan rasanya akan bertambah enak.
2.       Glycerine adalah sejenis cecair yang likat, manis dan jernih rupanya. Tujuannya ialah untuk melembutkan tekstur kek.
3.       Teknik menggaul tepung dan buah-buahan sesenduk demi sesenduk hingga habis adalah salah satu cara atau petua untuk menghalang buah-buahan dari mendap ke bawah apabila kek dibakar nanti.
4.       Mengapa kek dibakar dengan suhu rendah 150 C? Membakar kek buah-buahan memerlukan masa yang panjang jadi suhu oven mestilah rendah untuk memastikan bahawa kek akan betul-betul masak dan mempunyai warna yang gelap tetapi tidak pahit dan hangit.
5.       Setelah sejuk, kek buah-buahan perlu dikeluarkan dari loyang dan dibalut dengan 2 jenis balutan. Pertama dibalut dengan kertas minyak dan kedua dibalut dengan kertas timah (aluminium foil). Simpan kek sekurang-kurangnya 1 minggu atau lebih di tempat yang sejuk atau di dalam peti ais lebih bagus sehingga sampai tempoh matang (mature)nya.
6.       Sekiranya anda menyimpan kek di dalam peti sejuk, pastikan kek hendaklah dikeluarkan terlebih dahulu dan dibiarkan pada suhu bilik sekurang-kurangnya 6 hingga 8 jam sebelum dipotong. Disertakan gambar kek buah- buahan hantaran yang telah disalut dengan fondant.