Saturday 13 April 2013

Lompang Bukan Kasui


Kuih lompang ini walaupun rasanya seakan-akan kuih kasui, tetapi bahan utama yang digunakan adalah agak jauh bezanya dengan kuih kasui.
Lompang menggunakan tepung beras sebagai bahan asasnya manakala kasui pula menggunakan tepung gandum.
Lompang dikukus dengan acuan bekas-bekas kecil saiz seperti cawan cina dan apabila sudah masak ia akan berlubang di tengahnya manakala kasui pula selalunya dikukus dengan menggunakan loyang kemudian apabila sejuk dipotong-potong ikut suka.

Cara menghidangkan lompang dan kasui agak sama iaitu digaul dengan kelapa parut yang telah dibubuh sedikit garam. Dulu masa mula-mula saya belajar membuat kuih ini, jarang saya temui lompang yang berwarna-warni kerana pada masa itu resipi lompang menggunakan dua jenis gula iaitu gula pasir dan gula merah tetapi sekarang ini untuk membuat lompang berwarna-warni ia hanya menggunakan gula pasir semata-mata. Ada orang mengatakan lompang warna-warni ini adalah lompang versi "Nyonya" tetapi saya sendiri kurang pasti. Walaubagaimanapun di sini saya sertakan resipi lompang asli yang mula-mula saya belajar dahulu (old school). Yang penting rasanya tetap tidak berubah dan enak. 

Resipi Lompang:-

2 1/4 cawan air sejuk
1/2 cawan gula pasir
3/4 cawan gula merah
sehelai daun pandan disiat

150gm tepung beras
1/2 sudu besar tepung ubi
1 1/2 sudu besar air kapur
kelapa parut putih secukup untuk menggaul lompang
garam halus secukup rasa

Cara membuatnya:-

1. Campurkan gula pasir, gula merah, daun pandan dan air. Masak dan kacau sehingga mendidih, ketepikan hingga sejuk.
2. Campurkan tepung beras, tepung ubi, air gula dan air kapur. Kacau hingga sebati. Tapis.
3. Didihkan air di dalam pengukus hingga mendidih. Susun acuan kecil di dalam pengukus dan bubuh 'batter' ke dalam acuan tersebut.
4. Kukus selama 6-7 minit atau sehingga masak. Kalau lompang menjadi ia akan berlubang di tengahnya. Biar ia sejuk dan barulah dikeluarkan.
5. Gaul kelapa parut dengan sedikit garam. Apabila hendak menghidang lompang, gaul atau bubuh sedikit kelapa parut ditengahnya dan bolehlah dihidangkan.



 

Kek kahwin lagi..



















Setiap minggu dari penghujung bulan Februari hinggalah tiba musim cuti sekolah pada bulan Mei, ada-ada sahaja jemputan perkahwinan yang telah saya terima.
Berbagai-bagai jenis, bentuk dan rupa kek perkahwinan mahupun pertunangan yang telah saya buat, tetapi yang pastinya pembuatan kek ini telah banyak berubah selaras dengan perubahan semasa di dalam sesuatu majlis perkahwinan masa kini.
Semakin besar perbelanjaan sesuatu majlis itu, maka semakin 'grand' lah kek yang akan ditempah. Tidak hairanlah nilai sesuatu kek yang bertingkat-tingkat itu menjangkau harganya ke ribuan ringgit. Bagi yang mempunyai kemampuan ini tidak menjadi satu masalah asalkan hati mereka puas.
Amatlah sukar bagi saya untuk memuaskan semua pelanggan-pelanggan saya 100% tetapi kepercayaan mereka berikan kepada saya untuk mencipta kek-kek perkahwinan mereka telah banyak membuahkan kredibiliti saya sebagai seorang pembuat kek. Alhamdulilah.


Moto kami adalah "nilai wang anda adalah nilai kreativiti kami, jadi kepuasan anda adalah kepuasan kami".