Sunday 25 March 2012

Kek Hantaran & Perkahwinan

Seni membuat kek pertunangan ataupun perkahwinan bagi saya walaupun ia suatu pekerjaan yang memenatkan, meletihkan dan remeh-temeh tetapi ia amat menarik. Pekerjaan dan masa yang diperlukan untuk membuat kek ini agak panjang kalau dibandingkan dengan membuat kek-kek biasa. Selain dari membancuh dan membakar kek hingga masak, segala kerja-kerja yang lain seperti menyalut kek dengan gula fondant, menghias tepi-tepi dan 'badan'kek juga menyusun bunga-bunga gula yang telah digubah tidak menggunakan mesin tetapi dengan tangan (handmade)satu persatu dari A hingga Z.
Bunga-bunga gula (gum paste) atau bentuk-bentuk animasi dibuat terlebih dahulu seminggu atau lebih bergantung pada saiz kek.Jika ukuran kek kecil, maka sikit la hiasannya dan jika saiznya besar maka banyak la hiasannya, tetapi ada masanya kadang kala cara ini tidak boleh digunapakai kerana ada pelanggan menempah kek yang bersaiz kecil tetapi meminta hiasan yang banyak.
Masa membuat bunga-bunga gula ini, memakan masa yang panjang jadi ia memerlukan kesabaran, ketelitian dan kepekaan. Orang-orang yang betul-betul berminat sahaja (passion) yang akan dapat menghasilkan kerja-kerja tangan yang cantik, menarik dan memuaskan. Jadi tidak hairanlah, jikalau harga kek fondant ini agak tinggi dan berbeza harganya dari kek-kek jenis-jenis butter cream atau salutan coklat.
Cantik dan sedap mata memandang sahaja tidak memadai jikalau rasanya tidak seiring dengan rupanya. Jadi kami juga membuat kek-kek yang sesuai untuk tujuan ini seperti kek pound buah-buahan berat (heavy fruit cake) mahupun ringan (light fruit cake) kek coklat, mocha dan oren. Anda hanya memilih ape yang sesuai untuk anda dan kami juga tidak lupa membantu dan menasihati anda untuk memilih apa-apa jenis kek yang sesuai mengikut kesesuaian waktu dan masa.

Saturday 24 March 2012

Pound Cake

Ada empat jenis kek yang selalu dan biasa kita dengar, lihat dan makan ialah kek-kek seperti berikut: -
1. Kek Pound/butter cake yang berasaskan mentega.
2. Kek Span (sponge) berasaskan telur tanpa mentega yang biasa juga dibuat kuih bahulu bagi orang-orang Melayu.
3. Kek Chiffon yang banyak menggunakan putih telur dari merah untuk melembut dan menggebukan kek.
4. Kek Keju yang berasaskan keju krim.


Di antara empat jenis kek ini kek Pound yang paling sesuai dibuat kek Fondant untuk pertunangan atau perkahwinan kerana struktur dan teksturnya yang 'kuat' dan padat untuk menanggung segala beban berat salutan gula fondant dan hiasan yang di atasnya.
Kek Pound ini adalah induk ataupun ibu daripada kek-kek mentega yang lain. Pound kek juga dikenali di Perancis sebagai Quatres-Quarts dipercayai berasal dari England berabad-abad lama yang lalu. Dari situ ia berkembang ke negara-negara Eropah yang lain.Tidak hairanlah kek pound ini mudah didapati di kebanyakan kafeteria-kafeteria di Eropah dengan versi-versi tersendiri. Antara versi-versi tersebut adalah Kek Pound Buah-buahan, Kek Pound Victoria Sandwich, Kek Pound Marble, Kek Genoese, Kek Madeira, Kek Walnut dan lain-lain lagi.


Secara tradisi nisbah timbangan berat bahan-bahan membuat kek ini di antara satu sama lain adalah sama. Contohnya :- 250 gm mentega, 250gm gula kastor, 250gm telur tanpa kulit, 250gm tepung gandum ditambah dengan sedikit baking powder dan perisa-perisa yang dipilih.
Jika dibandingkan kek Pound dahulu dan sekarang terdapat banyak perbezaan dari segi rasanya kerana bahan-bahan yang bermutu tinggi seperti tepung yang telah diproses dan ditambah dengan zat-zat vitamin dan galian serta penggunaan mesin pembancuh/'mixer' berteknologi tinggi yang membolehkan pembuatan menjadi lebih cepat dan canggih.
Disertakan gambar kek Pound buah-buahan (light fruit cake) untuk tatapan anda.