Saturday 12 May 2012

Serba ringkas Pertunangan & Hantaran


Di musim cuti sekolah yang bakal menjelang tiba ini, sudah pasti ramai pasangan yang akan melangsungkan perkahwinan malahan tidak kurang pula pasangan yang akan menjalin tali pertunangan.
Bagi pasangan yang ingin mengikat tali pertunangan pula, tentulah kedua-dua belah pihak sibuk memikirkan apakah barang-barang yang patut diberi untuk dibuat sebagai barang hantaran.

Lazimnya barang-barang yang kerap menjadi pilihan hantaran samada di pihak lelaki mahupun perempuan ialah wang hantaran itu sendiri, sepasang kain sepersalinan, tuala mandi, kasut, songkok, senaskah al-quran, minyak wangi, buah-buahan dan kuih-muih tradisional seperti kuih kacau labu atau kuih kacau keledek, halwa kundur atau betik dan tidak lupa pula sebagai satu kuih moden wajib iaitu kek seperti kek mentega, kek coklat dan lain-lain lagi tetapi yang pastinya kek yang telah disalut fondant atau coklat yang telah dihias begitu menarik sekali.
Sudah menjadi adat orang-orang Melayu selalunya pihak perempuan akan menghantar barang-barang hantaran melebihi dari pihak lelaki dengan bilangan angka ganjil. Contohnya, pihak perempuan akan menghantar sembilan dulang hantaran manakala lelaki pula akan membalas tujuh dulang hantaran.Satu rombongan dari pihak lelaki beserta dengan satu ketua dilantik sebagai wakil untuk pergi meminang manakala satu ketua pula dilantik sebagai wakil bagi pihak perempuan bagi menerima pinangan. Janji kedua-dua belah pihak akan dimenterikan dengan lontaran kata-kata yang indah tersusun rapi serta beradat sopan disaksikan oleh kedua-dua belah pihak.
Kalau mahu dicoret secara terperinci masih banyak lagi bahan-bahan menarik yang tercicir dan tertinggal yang belum diceritakan lagi tetapi tidak mengapalah kita anggap sahaja sebagai ‘sambil menyelam minum air’iaitu sambil bercerita tentang kek dan kuih-muih kita sentuh serba sedikit tentang adat pertunangan orang-orang Melayu secara ringkas. 


Disertakan gambar Kek Pound Marble, Kek Pound Marble setelah dihias dengan fondant dan kuih Kacau Labu.


No comments:

Post a Comment