Saturday 13 April 2013

Lompang Bukan Kasui


Kuih lompang ini walaupun rasanya seakan-akan kuih kasui, tetapi bahan utama yang digunakan adalah agak jauh bezanya dengan kuih kasui.
Lompang menggunakan tepung beras sebagai bahan asasnya manakala kasui pula menggunakan tepung gandum.
Lompang dikukus dengan acuan bekas-bekas kecil saiz seperti cawan cina dan apabila sudah masak ia akan berlubang di tengahnya manakala kasui pula selalunya dikukus dengan menggunakan loyang kemudian apabila sejuk dipotong-potong ikut suka.

Cara menghidangkan lompang dan kasui agak sama iaitu digaul dengan kelapa parut yang telah dibubuh sedikit garam. Dulu masa mula-mula saya belajar membuat kuih ini, jarang saya temui lompang yang berwarna-warni kerana pada masa itu resipi lompang menggunakan dua jenis gula iaitu gula pasir dan gula merah tetapi sekarang ini untuk membuat lompang berwarna-warni ia hanya menggunakan gula pasir semata-mata. Ada orang mengatakan lompang warna-warni ini adalah lompang versi "Nyonya" tetapi saya sendiri kurang pasti. Walaubagaimanapun di sini saya sertakan resipi lompang asli yang mula-mula saya belajar dahulu (old school). Yang penting rasanya tetap tidak berubah dan enak. 

Resipi Lompang:-

2 1/4 cawan air sejuk
1/2 cawan gula pasir
3/4 cawan gula merah
sehelai daun pandan disiat

150gm tepung beras
1/2 sudu besar tepung ubi
1 1/2 sudu besar air kapur
kelapa parut putih secukup untuk menggaul lompang
garam halus secukup rasa

Cara membuatnya:-

1. Campurkan gula pasir, gula merah, daun pandan dan air. Masak dan kacau sehingga mendidih, ketepikan hingga sejuk.
2. Campurkan tepung beras, tepung ubi, air gula dan air kapur. Kacau hingga sebati. Tapis.
3. Didihkan air di dalam pengukus hingga mendidih. Susun acuan kecil di dalam pengukus dan bubuh 'batter' ke dalam acuan tersebut.
4. Kukus selama 6-7 minit atau sehingga masak. Kalau lompang menjadi ia akan berlubang di tengahnya. Biar ia sejuk dan barulah dikeluarkan.
5. Gaul kelapa parut dengan sedikit garam. Apabila hendak menghidang lompang, gaul atau bubuh sedikit kelapa parut ditengahnya dan bolehlah dihidangkan.



 

2 comments:

  1. Terima kasih atas penjelasannya. Ramai yang keliru dengan status dua kuih ini

    ReplyDelete
  2. Casino Bonus Codes - December 2021 - JTG Hub
    Get $100 제주도 출장안마 in bonus codes for the December 2021. Claim one 남원 출장마사지 of our Casino 광양 출장안마 Bonus Codes at the JTG Hub today! Use the JTG 의정부 출장안마 Hub promo code: 강릉 출장마사지

    ReplyDelete