Saturday 11 May 2013

Ubi Kayu

Atas fakta kemiskinan, suatu ketika dahulu, Wan banyak menanam pokok-pokok ubi kayu di kebun kami yang tak sampai sekangkang kera besarnya untuk dijadikan makanan tambahan atau sampingan bagi membesarkan anak-anaknya dan termasuk kami, cucu-cucunya.
Mungkin kerana kami selalu dihidangkan dengan juadah-juadah yang dibuat dengan menggunakan ubi kayu inilah yang membuat keluarga kami menyukai makanan ini.
Tiada pembaziran di dalam menggunakan pokok ubi kayu ini. Daun muda dan pucuk ubi boleh direbus untuk dimakan dengan nasi sambil dicicah dengan sambal belacan, dibuat gulai lemak, gulai tauchu, kerabu malahan boleh dibuat rendang dicampur dengan daging.
Ubinya pula boleh dipelbagaikan dan dibuat dengan bermacam-macam jenis kuih-muih seperti ubi rebus, lepat ubi, bengkang ubi, getok ubi, kecut ubi, puteri mandi, seluncur malahan boleh juga dibuat 'tid bits' seperti kerepek ubi, manis dan pedas serta 'tapioca fries' dan cakar ayam. Manakala pokok ubi yang telah ditebang, dikerat-kerat batangnya dan boleh ditanam semula.

Resepi Kecut Ubi Kayu:-

450-500gm ubi kayu
air secukupnya untuk merebus ubi
100gm gula merah
40gm gula putih
125ml air sejuk

Cara menyediakan:-

Rebus ubi kayu hingga empuk. Ketepikan. Campur kedua-dua jenis gula ke dalam periuk dan bubuh air sejuk. Masak hingga mendidih dan berbuih, masukkan pula ubi kayu rebus. Kacau rata dan kecilkan api. Biarkan 2-3 minit atau hingga ubi disaluti dengan gula karamel dan padamkan api. Biarkan sejuk dan bolehlah dihidangkan.