Sunday 24 February 2013

Cupcakes


Cupcakes ataupun kek-kek bersaiz kecil yang dibakar dengan menggunakan cawan-cawan kertas kecil ini mengembalikan nostalgia saya di zaman kanak-kanak dahulu.

Pada ketika itu, ia banyak dijual di kedai-kedai kopi ataupun kedai roti. Cupcakes ini juga dibuat oleh suri-suri rumah pada musim-musim tertentu seperti Hari Raya ataupun Hari Jadi.

Cupcakes kembali popular pada awal 2007 hingga kini. Terdapat berbagai-bagai jenis cupcakes di pasaran seperti cupcakes oren, coklat, pisang dan bermacam-macam lagi.

Walaupun cupcakes ini selalunya dibuat dengan menggunakan resipi 'butter cake' tetapi ia juga boleh menggunakan resipi kek span. 

Cupcakes boleh dibiarkan kosong tanpa 'topping', ditabur dengan gula ising ('snow dust'), disalut dengan 'butter cream' atau 'chocolate ganache'.

Cupcakes yang dibuat untuk hantaran mahupun di majlis perkahwinan, biasanya disalut dengan gula 'fondant'. Ia bukan sahaja nampak ekslusif malahan mudah dibawa kemana-mana dan tidak rosak.


Resipi cupcakes:

150 gm mentega
150 gm gula kastor
3 biji telur ayam
3 sudu besar susu segar
1/2 sudu teh essen vanilla
150 gm tepung naik sendiri

Topping 'streussel' atau bahan-bahan taburan :

50 gm tepung gandum
50 gm serbuk badam
1/8 sudu teh serbuk kayu manis
30 gm gula merah
45 - 50 gm mentega
garam secukup rasa

Cara membuat 'streussel' :

1. Campurkan tepung gandum, serbuk badam, serbuk kayu manis dan gula merah. Gaul hingga bercampur rata.
2. Masukkan mentega, gaul dan ramas hingga menjadi serbuk roti 'bread crumb' dan ketepikan.

Cara membuat cupcakes :

1. Pukul gula dan mentega hingga kembang.
2. Bancuh telur bersama susu segar dan essen vanilla, masukkan sedikit demi sedikit ke   dalam adunan gula dan mentega serta dipukul hingga sebati.
3. Masukkan tepung dan gaul rata.
4. Susun cawan kertas ke dalam acuan 'muffin'.
5. Dengan menggunakan sudu besar, masukkan adunan tadi ke dalam cawan kertas sehingga 3/4 penuh sahaja. Taburkan 'streussel' ke atas kek.
6. Bakar dalam ketuhar 180 C selama 20 hingga 25 minit ataupun hingga masak. Biarkan sejuk dan bolehlah dimakan.

Cupcakes 'streussel'




Cupcakes 'fondant' (hantaran / perkahwinan)