Saturday 19 January 2013

Kuih Ketayap

Kuih Ketayap.

Biasa dikenali sebagai kuih ketayap selain daripada nama seperti kuih dadar dan juga kuih tayap bagi panggilan kaum Baba dan Nyonya.
Kuih yang dibuat dengan berasaskan tepung gandum dan berinti kelapa ini selalunya dihidangkan sebagai sarapan pagi dan adakalanya juga sebagai minuman petang.
Walaupun kuih ini nampak mudah sahaja pembuatannya, tetapi jika teknik dan caranya tidak betul, kuih ini akan menjadi tebal kulitnya dan hambar inti kelapanya.
Untuk mendapatkan rasa kuih ketayap yang sedap dan lazat, sila ikuti resepi dibawah ini:-

Bahan-bahan inti :-

200gm gula putih
100gm gula merah
1biji kelapa parut putih
1 1/2 cawan air
garam secukup rasa 
sehelai daun pandan disiat
2 sudu besar tepung pulut


Cara membuat inti:-

Campurkan gula putih, gula merah, air, garam dan daun pandan. Masak hingga mendidih. Masukkan kelapa parut dan kacau selalu untuk mengelakkan hangit. Masak hingga air 3/4 kering. Masukkan pula 2 sudu tepung pulut dan kacau lagi tanpa henti hingga kering dan likat.

Bahan-bahan kulit ketayap:-

300gm tepung gandum
3 cawan santan sederhana pekat
1/2 cawan air pandan pekat
2 biji telur ayam
garam secukup rasa
2 sudu besar minyak jagung

















Cara membuat kulit ketayap :-

Ayak tepung gandum, ketepikan. Campurkan santan, air pandan, telur, minyak jagung dan garam, kacau sehingga garam larut. 
Curahkan adunan santan ke dalam tepung gandum dan kacau hingga sebati. Tapis dan ketepikan, biarkan 'batter' ini selama 20-25 minit.
Panaskan kuali yang telah dilengserkan dengan sedikit minyak (jika anda menggunakan kuali 'non-stick pan' ini lagi bagus kerana ia tidak memerlukan minyak) tunggu hingga kuali betul-betul panas.
Kacau semula 'batter' yang telah disimpan tadi dan ambil sesenduk sederhana sambil dilenggang-lenggangkan kuali supaya 'batter' rata dan nipis.
Tunggu hingga kulit dadar agak kering ditengahnya dan sedikit kekuningan ditepinya, barulah diangkat. 

Letak kulit dadar yang telah dimasak tadi di atas pemotong sayur dan masukkan sedikit inti. Lipat kiri dan kanan dan gulung kuih ketayap kemas-kemas seperti lampiran gambar. Ulang proses hingga habis. Bolehlah dihidangkan. 





 

Selamat menyambut tahun Baru 2013.

Sudah 20 hari kita meninggalkan tahun 2012 dan kini kita sudahpun berada di tahun 2013, semoga Allah akan memberkati rezeki dan kehidupan kita semua, insyaallah.
Selain daripada membuat kek, biskut, pai, roti dan apa sahaja yang termasuk dalam golongan pastri, saya juga meminati membuat segala kuih-muih Melayu samaada basah mahupun kering tidak kira tradisional atau semi moden.
Banyak sekali resepi kuih-muih Melayu yang telah saya kumpul dan disimpan bertahun-tahun lamanya. Resepi-resipi ini sebahagiannya saya warisi dari arwah Mak, yang juga mempunyai minat yang sama dengan saya. Selain dari itu resepi kuih-muih ini juga saya perolehi dari saudara-mara, sahabat handai dan juga dari hotel-hotel semasa saya bekerja di hotel dahulu.
Sebagai permulaan, saya akan berikan resepi-resepi kuih-muih Melayu yang agak mudah yang pernah dibuat oleh ibu-ibu kita di rumah. Insyaallah di masa akan datang, saya akan sediakan pula resepi-resepi yang agak rumit dan mencabar.
Moga-moga kuih-muih Melayu tidak hilang ditelan masa.

Selamat mencuba.